Gelombang Pembangkang Malaysia 2008

Gelombang Pembangkang Malaysia 2008 merupakan peristiwa mengejutkan yang berlaku semasa Pilihan Raya Umum Malaysia 2008 yang diadakan pada 8 Mac 2008. Gelombang politik ini diistilahkan sebagai kebangkitan tsunami politik yang tidak disangka-sangka , baik oleh parti kerajaan Barisan Nasional mahupun oleh pembangkang - DAP, PKR dan PAS. Gelombang ini digerakkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mencatur kedudukan calon PKR, DAP dan PAS agar hanya satu parti pembangkang menentang Barisan Nasional. Ternyata semua pemimpin pembangkang akur dengan gesaan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan kemenangan maksimum kepada pembangkang. Manifesto yang dikeluarkan oleh DAP, PKR dan PAS juga hampir sama iaitu mahu mengurangkan majoriti 2/3 Barisan Nasional di peringkat Parlimen dan merampas negeri yang utara Malaysia iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan mengekalkan Kelantan di tangan PAS. Pembangkang juga cuba menguasai negeri Perak. Tetapi tanpa disangka kejayaan pembangkang tersebar ke Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Malah banyak kerusi di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor serta Pahang berjaya dimenangi oleh pembangkang.